Kelebihan Raja Kayu

Raja kayu ada kuasa mistik




Orang Melayu memang hidup menyatu dengan alam sekitar. Sebarang keunikan alam dianggap membawa makna yang tersendiri dan memberi kesan terhadap kehidupan mereka.

Masyarakat orang asli yang masih tinggal di hutan-hutan banyak bergantung pada kayu kayan dan akar hutan.
Kayu dan akar hutan dianggap memberi segala keajaiban untuk menghindarkan penyakit biasa dan luar biasa.
Menurut orang-orang asli, pokok-pokok kayu di dalam hutan memiliki ciri keunikan dan mistik tersendiri.

Ada beberapa jenis kayu seperti Raja Kayu, Penawar Hitam, Emas Hitam, Cendana, Kayu Penunduk, Nibong, Ulamas, Bertam memiliki kuasa mistik yang dapat menyembuhkan penyakit biasa dan luar biasa. Sebab itulah, masyarakat orang asli amat mempercayai kuasa hutan dan semangat pada setiap pokok kayu.

Gelaran 'raja kayu' pada sejenis pokok yang hidup di pedalaman hutan-hutan nusantara sememangnya sudah menunjukkan kuasa kehebatan pokok itu. 'Raja kayu' dianggap mempunyai kuasa mistik yang menggerunkan semua tumbuhan yang lain.

Pokok Raja Kayu amat sukar ditemui, namun untuk mengenal pasti adakah pokok itu 'raja kayu', amat mudah kerana pokok itu hidup menyendiri.

Kawasan sekeliling pokok itu akan kelihatan bersih kerana tiada tumbuhan lain yang hidup di sekitarnya.
Ketika pokok 'raja kayu' mahu hidup, semua tumbuhan di sekitarnya akan mati. Apabila pokok 'raja kayu' sudah sebesar pokok getah, semua pokok di sekelilingnya akan tunduk padanya. Daun pokok 'raja kayu' pula tidak bertulang atau berurat.

Dikatakan, bukan sebarang orang boleh mengambil pokok 'raja kayu'.

Kehebatan 'raja kayu' atau nama saintifiknya cassia fistula memang sudah terkenal di kalangan orang Melayu.
Untuk mengetahui adakah itu 'raja kayu' yang tulen, lampu suluh boleh dinyalakan ke arah kepingan 'raja kayu' yang dipotong tebal. Kita pasti terpukau apabila melihat cahaya lampu itu mampu menembusi kepingan 'raja kayu' yang tebal sedangkan uji kaji yang serupa ke atas kayu-kayu lain tidak akan mampu mendapat hasil yang sama.

Ujian kedua boleh dilakukan dengan meletakkan 'raja kayu' bersaiz 1 sen ke dalam mangkuk berisi air. Kepingan 'raja kayu' itu akan tenggelam seperti batu.


Seterusnya, ujian boleh dilakukan dengan menggosok perlahan serbuk 'raja kayu' ke lengan seseorang. Serbuk 'raja kayu' itu akan meresap ke dalam kulit orang itu.


Menurut orang tua-tua, 'raja kayu' adalah raja segala penawar atau ibu segala ubat. 'Raja kayu' dikatakan mujarab menyembuhkan penyakit asma, darah tinggi, gout, kencing manis, lelah, sengal-sengal, melancarkan perjalanan darah, sakit kulit, santau, penangkal ilmu hitam, pendinding, penunduk, pengasih serta penghalau binatang buas dan haiwan berbisa.

Dipercayai sesiapa yang dipukul dengan menggunakan 'raja kayu', (manusia atau haiwan) boleh menjadi gila sekiranya tidak diberikan penawar segera.

Air rebusan teras raja kayu putih dikatakan juga mampu melembutkan hati anak-anak yang degil dan nakal. Penagih alkohol, rokok atau pesakit batuk berdarah juga dikatakan mampu menggunakan air rebusan raja kayu putih sebagai penawar.

Dahulu, 'raja kayu' sering digunakan sebagai hulu keris kerana dikatakan mampu memberi aura panas pada si pemakainya. Pahlawan Melayu akan mempunyai semangat yang kental dan berapi-api dalam pertarungannya.
Terdapat dua jenis 'raja kayu' iaitu 'raja kayu merah' dan 'raja kayu putih'. 'Raja kayu putih merupakan spesis 'raja kayu' yang amat dicari oleh pencinta barangan mistik kerana dipercayai mempunyai kelebihan berbanding 'raja kayu merah'. Masing-masing mempunyai manfaat tersendiri.

Namun kepercayaan yang keterlaluan boleh mengakibatkan syirik.

Petikan dari sumber :
https://www.facebook.com/notes/dunia-macam-macam-alam-misteri/raja-kayu-ada-kuasa-mistik/376602819024645

No comments:

Post a Comment